^___^


Thursday, April 28, 2011

~Nota Ringkas Buat Budak Surau~

Sahabat janganlah berkecil hati jika orang lain tersilap faham pada kita, kerana Allah faham akan isi hati kita. Jangan gusar jika ada yg menghakimi kita, kerana tiada hakim sebaik Allah. Ketika bumi mulai bergoncang, dan tanah mulai retak, ingatlah Allah bersama kita. Ketika kita ditimbus tanah, ketahuilah Amal bersama kita. Tiada yg menyakitkan, tiada pula yg menakutkan jika hati ini terikat cinta kepada Allah dan RasulNYA.



Sengaja saya mulakan dengan perkataan “budak surau”, agar siapa yang terasa dirinya memegang lencana dai’e menyemak diri kembali, dan sesiapa yang belum menjadi ahli, bila lagi nak sertai??



Sedar atau tidak, masa membawa kita terdewasa meniti arus perubahan menuju muara kematangan. Bercerita tentang kisah dulu dan kini, sepanjang saya menjalani hidup di JAD bersama-sama rakan-rakan seperjuangan, 2 tahun lebih ini menjadi saksi kepada pelbagai perubahan. Ada yang tidak bertudung kepada bertudung, ada yang bertudung kepada tidak bertudung, ada yang berketayap kepada berserban, ada yang bercinta putus di tengah jalan, ada yang cinta dan putus cinta silih berganti dengan orang yang sama, ada yang menyulam janji mengecap hari bahagia, ada yang masih menanti si ‘dia’.



Segala perubahan ini terakam kemas di ingatan saya. Untuk kali ini, seperti yang diwarwarkan, saya ingin fokus pada mereka yang berubah menjadikan diri sebahagian daripada golongan dakwah.



Mereka yang dahulunya takut-takut bila disuruh bercakap dalam usrah, kini petah mengajak umat berfikir iman dan amal.


Mereka yang dahulu sibuk berpesta sehingga pagi, kini sibuk berendam air mata di tikar sejadah.


Mereka yang tak pernah peduli dengan hidup orang lain, yang kini menghambakan diri mentarbiyah rakan.


Mereka yang dulunya terloncat-loncat di atas pentas tarian, kini berselubung menjaga aurat dan ikhtilat.



Semestinya saya gembira melihat perubahan-perubahan ini. Dan saya juga sedar perubahan ini tidak berlaku tiba-tiba bahkan mengambil proses yang lama untuk hasilnya disemai menjadi tatapan dan pedoman semua.



Namun wahai sahabat-sahabat yang berubah, dalam keghairahanmu mentarbiyah diri, mencari ilmu di setiap pelosok bumi, duduk sejenak dan perhatikan sekelilingmu.


Betapa jauhnya kamu dari sahabat di sisi.



Betapa teman yang selalu bertepuk tampar, bercubit mesra, bergelak ketawa, makan minum malah tidur bersama sebelum tudung labuh menutupi dadamu, kini ke mana mereka?
Betapa teman yang selalu bersama berkongsi suka duka dan cerita gila-gila dunia remaja sewaktu serban belum melilit kepalamu, di mana mereka?



Jangan wahai sahabat-sahabatku, perubahan-perubahan yang kau lakukan membawamu makin jauh dari sahabat handai. Bahkan lebih berat lagi jangan kau rasa letih bersahabat dengan mereka walau mereka tidak bersamamu di medan dakwah ini.



“Buang masa je makan dengan diorang ni, lebih baik baca buku fikrah”
“hisy tak baik bersembang dengan diorang ni, diorang tak ada fikrah Islam, bercakap bende lagha”
“laaa dah hari-hari jumpa kat kelas, nak keluar hujung minggu lagi nak buat apa, baik aku hafal hadis 40 tu”



Jangan wahai sahabat kau meremehkan kewujudan mereka di sisimu.


Bahkan merekalah yang mungkin menahan sabar melayan emosimu tika kau sedang marah dengan usaha dakwah, dan menenangkanmu kembali.


Bahkan mungkin merekalah yang menyiapkan segala kerja-kerja di rumah tika kau sibuk berprogram. Bahkan mungkin merekalah yang bersedia dengan senyuman menyambutmu tika kau pulang letih berusrah.


Bahkan mungkin tanpa anda sedari, merekalah yang menitipkan semangat dan roh kekuatan, serta menyokongmu di belakang dari segala tohmahan.



Bawalah dirimu menongkah arus perubahan, namun sekali sekala jenguklah sahabat yang anda tinggalkan. Kalau dulu berkongsi tawa dan air mata, mengapa kini lidah kelu dari bercerita? Adakah berat sangat masalah dunia yang anda tanggung hingga tak terungkap secangkir senyuman?



Bersahabatlah sepenuh hati, sementara mereka masih di sisi. Kerana nanti bila semua membawa haluan sendiri, bukan mudah bertemu kembali. Hatta sedaerah pun belum tentu bersua wajah. Tika itu hanya doa mengiringi, agar mereka sentiasa selamat dan bahagia hingga ajal dijemput pulang.



Hargailah setiap saat anda mampu lagi melihat sahabat anda tersenyum.
Hargailah setiap saat anda mampu berjabat tangan berpeluk erat.
Hargailah setiap saat anda bertikam lidah bertegang leher.
Hargailah setiap saat mereka ada di sisi, kerana nanti, tidak tahu masihkah dapat bersua lagi.
Jangan nanti menyesali masa yang tak akan berulang kembali.



Maka sahabat-sahabat, marilah kita raikan secangkir persahabatan ini sebelum masanya tiba untuk masing-masing melebarkan sayap ke negeri orang.



All the things before and after, all melt into gossip and laughter.
Segala kenangan antara kita, tinggal sisa tawa dan air mata.



Hidup tidak selalunya indah, tapi yang indah selalu hidup dalam kenangan.
Moga jika berpisah kita bertemu kembali, jika tidak di dunia ini, moga di akhirat yang kekal abadi.

No comments:

Post a Comment