^___^


Sunday, September 26, 2010

VISIT TO HOSPITAL

VISIT TO PUSAT KAWALAN KUSTA NEGARA
HOSPITAL SG. BULOH.
24 SEPT 2010
BY OUTREACH  TWC






SEDIKIT INFO TENTANG PENYAKIT KUSTA

Penyakit kusta atau juga dikenali sebagai penyakit Hansen, merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh jangkitan Mycobacterium leprae. Nama penyakit Hansen datang daripada orang yang menjumpai Mycobacterium leprae, G. A. Hansen. Pengidap penyakit Hansen biasanya dipanggil pesakit kusta atau dalam bahasa Inggeris lepers, walaupun penggunaan istilah lepers semakin ditinggalkan kerana jumlah pesakit yang berkurangan dan sebagai mengelak stigma buruk yang dikaitkan dengan pesakit kusta.
Kusta dahulunya tidak dapat diubati dan amat mencacatkan. Pesakit kusta akan disingkir dan dikurung di penempatan kusta. Pada masa kini, kusta mudah dirawat dengan menggunakan terapi pelbagai antibiotik. Cabaran utama bagi usaha menghapuskan penyakit kusta adalah untuk sampai kepada penduduk yang masih belum menerima perkhidmatan terapi pelbagai dadah, memperbaiki pengesanan penyakit, dan membekalkan pesakit dengan perkhidmatan berkualiti tinggi dan dadah yang murah.
Selain manusia, haiwan lain yang diketahui mengidap kusta adalah armadilo.


Bekas pesakit kusta pasrah jalani hidup





Katil-katil menempatkan bekas pesakit kusta yang menerima rawatan di wad-wad PKKN, Sungai Buloh, Selangor.




BAGI generasi muda, pengetahuan mereka mengenai kusta dan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) di Sungai Buloh, Selangor, mungkin tidak sepenuhnya.
Memandangkan mereka didewasakan bersama penyakit-penyakit terkini yang bersifat global antaranya HIV/AIDS, H1N1, selesema burung dan sebagainya.
Kepada mereka yang kurang tahu, PKKN adalah tempat penginapan bagi bekas pesakit kusta yang rata-rata kini merupakan warga emas berusia antara 50 hingga 90 tahun.
Biarpun sudah bebas daripada penyakit itu, namun kesan-kesan kecacatan kekal pada anggota badan mereka jelas kelihatan.
Berpeluang mendekati bekas pesakit kusta di PKKN, baru-baru ini, kami sempat menyelami perasaan mereka menghadapi kenyataan hidup dalam komuniti yang tersendiri.
Dalam kepayahan akibat kudrat yang semakin merosot dek faktor usia, mereka tetap pasrah menjalani liku-liku hidup bergelar bekas pesakit kusta.
Sumariah Salikin, 80, yang berasal dari Muar, Johor, telah 11 tahun terlantar di wad PKKN. Ini kerana bekas pesakit kusta ini mengalami sakit tua yang menyebabkan dirinya tidak mampu bergerak kerana sakit kaki.
Mempunyai lima orang anak berusia antara 40-an dan 50-an serta 20 orang cucu, Sumariah berkata, dirinya senang berada di sini kerana kebajikan kesihatannya terjaga dan tidak mahu menyusahkan sesiapa.
''Dulu saya tak berada di wad ini. Ketika masih boleh bergerak saya dan suami tinggal di calet di tepi kawasan ini juga. Tetapi sebab dah tak larat saya duduk di wad untuk dirawat," katanya.
Demikian cerita Sumariah yang sentiasa ceria. Dia dan suami dimasukkan ke PKKN pada tahun 1955. Kini suaminya sudah 23 tahun meninggal dunia.
''Dulu ketika masih muda saya tidak tahu pun apa itu kusta. Sedar-sedar sudah ada tompok-tompok putih pada badan. Ttetapi tidak dapatkan rawatan sebab tidak tahu. Akibat lambat dirawat saya jadi begini," katanya.
Katanya, ketika dia masih mempunyai kudrat, diakhir Ramadan, pastinya dia insan yang paling sibuk membuat kuih-kuih tradisional seperti baulu dan bangkit. Malah pada pagi raya, dia dan suami akan berkunjung ke masjid di PKKN untuk bersolat sunat hari raya.
''Tapi dah lama saya berhari raya di atas katil ini. Badan dah tak kuat," katanya sambil ketawa. Apa pun waktu yang paling ditunggu ialah pada hari raya apabila anak-anaknya datang berkunjung.
Baginya waktu itu sangat meriah kerana itulah peluang dia berjumpa dengan anak dan cucu-cucu tersayang.
''Mereka ini tidak pernah lupa akan saya. Mereka cuma sibuk dan saya pun tidak mahu menganggu kehidupan mereka.
''Selang sehari ada juga di antara anak-anak yang datang menjenguk," jelasnya.
Katanya, kini tidak ramai lagi bekas pesakit kusta wanita berbangsa Melayu di PKKN.
''Ramai sudah meninggal dunia hanya tinggal saya dengan dua tiga orang lagi di sini sementara menunggu waktu ajal menjemput," katanya sebak.
Bagi Chik Ariffin, 76, beliau di masukkan ke PKKN pada usia 16 tahun ketika masih bersekolah.
''Masa itu tahun 1951, saya rasa anggota badan kebas dan merah. Duduklah wad di sini selama setahun untuk dirawat.
''Di sini kita hidup umpama keluarga, semuanya jadi kawan. Masa sihat dulu saya rajin menanam sayur-sayuran terutamanya ubi kayu di sekeliling PKKN. Tapi kini sudah tidak larat.
''Kaki uzur dan tidak kuat berjalan," kata anak bongsu daripada tiga beradik yang berasal dari Jitra, Kedah, itu.
Chik memberitahu, dia sekarang hanya menunggu siapa yang datang mengunjungi.
Apabila ditanya adakah saudara-mara datang mengunjungi ketika hari raya cepat-cepat Chik mengalih topik, katanya ramai yang datang ke sini terutamanya pada bulan Ramadan dan Syawal.
''Badan-badan bukan kerajaan (NGO), pusat zakat dan badan-badan amal selalu datang menghantar bantuan dan derma," katanya.
Bagi Raden Mokhtar, 62, kedatangan Syawal selalunya membolehkan dia berpeluang ke Melaka, tempat kelahiran dirinya dengan dibawa oleh anak saudaranya.
''Dulu masa saya sihat, saya sendiri akan ke Melaka menaiki bas untuk beraya dengan sanak saudara.
''Namun sejak tahun 2004, saya menghidap artritis menyebabkan saya sukar untuk bergerak," jelasnya yang dimasukkan ke PKKN pada tahun 1966.
Namun bagi Raden, itu semua bukan masalah, kerana pihak pengurusan PKKN dan kakitangannya sedia membuat jamuan untuk menjamu dan meraikan penghuni di situ.
''Pada masa senggang seperti ini apa yang banyak kami lakukan ialah membaca dan menelaah buku-buku dan surat khabar," tambahnya.
Dalam pada itu setiap tahun, PKKN akan menganjurkan lawatan atau program buat penghuni ke tempat-tempat tertentu bagi memberi peluang bekas pesakit kusta didedahkan dengan masyarakat luar, mengeratkan hubungan dan memberi mereka peluang menikmati prasarana negara.
Baru-baru ini, bekas pesakit kusta ini dibawa melawat ke Kuala Muda, Kedah dan Pulau Pinang.

source from:http://www.utusan.com.my

nayli nawwarah..
ghurfati,
26 sept again
9.51 am.

No comments:

Post a Comment